Thursday, September 15, 2011

tanda-tanda hati mati =blog teh secawan

Menurut kata seorang tokoh sufi terkenal, Ibrahim Adham menyatakan bahawa tanda-tanda hati mati itu:

1. Mengaku kenal Allah swt, tetapi tidak menunaikan hak-hakNya
2. Mengaku cinta kepada Rasulullah saw, tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah swt, tetapi tidak mensyukuri atas pemberianNya.
5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara seIslam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Monday, September 12, 2011

syukuri setiap pemberian ALLAH

ANGGUN DI MATA ALLAH : SEBUAH KECANTIKAN SEJATI
Kecantikan terdiri dari 2 jenis; kecantikan lahir dan kecantikan batin.
Kecantikan batin (inner beauty) adalah kecantikan yang dicari kerana essensinya, seperti kecantikan ilmu, akal fikiran, dan kesucian diri. Kecantikan batin inilah yang merupakan titik pandang Allah pada diri hamba-hamba-Nya.
Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis:
"Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa dan postur tubuh kalian. Akan tetapi, Allah melihat pada hati kalian." (HR. Muslim).
Sebenarnya kita semua adalah makhluk ciptaan-Nya yang paling sempurna dan cantik di muka bumi ini. Allah telah menentukan sesuatu sifat dalam diri kita adalah yang terbaik. Hanya mata kita sahaja yang diselaputi dengan nafsu yang tidak dapat melihat kebaikan yang ada pada sesuatu kejadian.
Mengapa sukar bagi kita untuk redha kepada kejadian Allah? Bukankah periuk orang lain sentiasa putih daripada apa yang kita ada? Kita sentiasa melihat apa yang ada pada orang lain itu jauh lebih baik daripada apa yang kita miliki.
Sedangkan nabi Muhammad S.A.W sendiri telah menasihatkan kita agar melihat orang yang kurang bernasib baik. Jangan melihat orang yang lebih bertuah kerana itu akan membuatkan kita tidak bersyukur. Dan itulah masalahnya pada diri kita. Kita sentiasa mengejar yang sempurna dalam kehidupan seharian. Sentiasa mahukan yang lebih bagus daripada orang lain.
Kita ada biduk, tetapi dalam masa yang sama berkehendakkan serempu pula. Tidak terkecuali dengan saya. Siapa yang tidak suka mendengar pujian melangit kerana cantik, bukan?
Ketika zaman bersekolah, semuanya kena bersaing atau sekurang-kurangnya sama dengan kawan-kawan. Pakai baju ketat, seluar sendat, dari tudung sehinggalah kepada kasut, kalau boleh semua mengikut peredaran fesyen. Pendek kata melaram berlebihan. Cuba bayangkan betapa banyak dosa yang terpaksa saya tanggung semata-mata untuk kelihatan trendy seperti itu? Syukurlah kesedaran datang sebelum lebih banyak dosa terkumpul.
Sekarang ini nak pergi mana pun, satu yang sentiasa perlu tanamkan dalam kepala adalah "bersederhana dalam berfesyen". Cukup dengan hanya menempel "wudhu'" di wajah, bertudung dan tidak memakai pakaian ketat yang menonjolkan bentuk badan.
Untuk itu, mari kita belajarlah untuk berkata Alhamdulillah dengan apa yang ada pada diri kita. Sedarlah, kecantikan bukan terletak pada secantik mana fizikal kita dilihat oleh mata orang lain, atau 'setrendy' mana pakaian yang telah membaluti tubuh masing-masing. Tetapi secantik mana kita di mata Allah.

ini untuk ibu ku permaisuriku

Mama,
Anakmu yang berada jauh ini dalam kerinduan,
Walaupun tidak terkata, Meskipun tidak terucap,
Kalau dulu mungkin sibuk menjadi alasan,
Ego menjadi rintangan.
Kini, anakmu ini sedang cuba untuk berubah,
Walaupun sedikit, dan mungkin banyak silapnya di matamu,
Mohon Mama terus sabar,
Sentiasalah mendoakan anakmu yang sangat merinduimu ini.

Mama,
Anakmu ini mohon ampun,
Atas segala perbuatan yang derhaka,
Yang melukakan hatimu.
Maaf Mama..
Kedegilan anakmu ini,
Ditambah dengan rasa bongkak,
Membuatkan anakmu ini lupa,
Seolah-olah tidak tahu betapa beratnya pengorbananmu,
Yang mengandungkanku sembilan bulan,
Yang sentiasa bersabar melayan karenahku,
Maafkan anakmu ini, Mama..
Mama,
Dulu aku tertanya-tanya,
Mungkin juga aku pandang pelik,
Kenapa Mama sering bersujud?
Kenapa Mama asyik berdoa?
Kenapa Mama sikit-sikit menyuruh bersolat,
Menyuruh mendekatkan diri kepada Tuhan.
Semuanya bagaikan masuk ke telinga kanan,
Keluar entah ke mana..
Rupanya itulah kekuatanmu, Mama,
Kekuatanmu yang sering memohon kepada Allah,
Dialah yang menguatkanmu,
Sepanjang menjagaku.
Subhanallah,
Berat sungguh ujianmu Mama,
Berhadapan dengan lima puterimu,
Yang setiap seorang punya perangai sendiri.
Mama,
Andai anakmu ini pergi dahulu sebelummu,
Halalkanlah segala yang Mama berikan,
Restuilah segala yang anakmu ini lakukan,
Mohon Mama sabar dalam segala yang Allah tentukan,
Doakan anakmu dapat bertemu denganmu di Syurga,
Marilah sama-sama kita merasai cinta Yang Maha Esa.
Mama,
Satu hari nanti,
Andai aku juga bergelar ibu,
Aku mahu mencontohimu,
Malah ingin cuba menjadi lebih baik, biiznillah,
Doakan anakmu ini Mama..